'TEGAS' Rahsia 11 anak berjaya


Tumpat: Perlu garang dan tegas, namun jangan sekali-kali memukul anak, itulah amalan seorang bapa tunggal membesarkan 11 anaknya.

Hasilnya, 11 anak Hassan @ Malik Omar, 75, kini berjaya, ada yang menjawat jawatan sebagai doktor, guru, tentera laut dan ahli perniagaan.
Lapan tahun hidup keseorangan selepas kematian isteri tersayang, Esah Mamat, 62 akibat kencing manis, bapa tunggal yang lebih mesra dengan panggilan Pak Su Malik itu tidak pernah mengongkong hidup anaknya, tetapi tidak membiarkan mereka terlalu bebas.

Tak pernah pukul anak

“Saya tegas dengan anak terutama dalam hal keagamaan, namun saya tidak pernah ‘sentuh’ anak walaupun ada dalam kalangan mereka yang melakukan kesalahan sebaliknya hanya mengugut dan mendenda.

“Kami juga tidak pernah membiarkan anak bermalam di rumah orang lain bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Menyingkap kembali pengalaman membesarkan anak yang ramai dalam keadaan serba kekurangan, warga emas yang berasal dari Kampung Geting itu berkata, dia terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk menyara keluarga.
“Saya menanam padi dan menangkap ikan di laut. Saya turut mengambil upah membuat rumah,” katanya.

Walaupun seharian sibuk dengan pekerjaan rutin, waktu malam digunakan Pak Su Malik mengajar anaknya mengaji al-Quran sehingga semuanya khatam dalam usia muda.

Memilih sekolah aliran agama untuk semua anaknya, Pak Su Malik memberikan alasan membekalkan ilmu agama secukupnya bagi membolehkan mereka membezakan perkara buruk dan baik.

Lebih membanggakan, baru-baru ini beliau terpilih sebagai penerima Anugerah Keluarga Mawaddah DUN Pengkalan Kubor dan anugerah sama untuk peringkat negeri Kelantan anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Kerajaan Negeri Kelantan.

sumber: bharian online


0 ulasan:

Copyright © 2016 LaKarAn haTi and Blogger Themes.